26 NOVEMBER 2025 | RABU
LAWATAN POST-AUDIT BAGI PERMOHONAN TUNTUTAN PEMBAYARAN – PROJEK MENAIK TARAF INFRASTRUKTUR ASAS DI BAWAH RMK-12 (TAHUN 2025)
Satu sesi lawatan post-audit bagi permohonan tuntutan pembayaran untuk projek “Menaik Taraf Bahu Jalan di Jalan Perindustrian 1 hingga Jalan Perindustrian 5 serta kerja berkaitan di kawasan Perindustrian Pontian, Johor” telah diadakan pada 26 November 2025. Sesi ini bertujuan untuk meneliti pelaksanaan kerja sebenar di tapak dan mengesahkan tuntutan pembayaran yang dikemukakan oleh kontraktor selaras dengan skop kerja serta spesifikasi yang telah diluluskan.
Sesi audit telah dihadiri oleh empat orang wakil daripada Malaysian Investment Development Authority (MIDA) diketuai oleh Cik Zabidah Daud, Pengarah, Bahagian Pasca-Pelaburan MIDA.
Turut hadir adalah wakil dari Invest Johor dan barisan pegawai dari Majlis Perbandaran Pontian yang terdiri dari Jabatan Kejuruteraan Bangunan dan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta sebagai agensi pelaksana projek.
Pemeriksaan di tapak meliputi pengesahan keluasan kerja menaik taraf bahu jalan, kualiti kerja yang telah disiapkan, serta semakan terhadap dokumentasi teknikal sokongan tuntutan. Diharapkan agar projek menaik taraf ini dapat memberikan kemudahan infrastruktur kepada pemain industri kawasan perindustrian Pontian.

