13 MAC 2026 | JUMAAT
Majlis Perbandaran Pontian telah mengadakan satu lawatan tapak ke tiga (3) lokasi pembangunan baharu bersama pihak pemaju dan perunding untuk pengesahan bagi proses Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC). Tujuan lawatan ini diadakan adalah sebagaimana di bawah peruntukan Seksyen 70(23)(a) dan (b), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) pihak Majlis perlu menjalankan pemeriksaan semasa pembinaan bagi memastikan bangunan yang dibina adalah mematuhi pelan bangunan yang diluluskan. Lokasi yang terlibat untuk lawatan adalah seperti berikut:
- Permohonan membina semula 1 unit rumah kedai 2 tingkat di Jalan Pontian-Johor Bahru, Mukim Jeram Batu Pekan Nenas.
- Permohonan pembangunan 88 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Taman Pontian Perdana, Mukim Rimba Terjun.
- Permohonan pembangunan 4 unit rumah teres 2 tingkat dan 86 unit rumah kos sederhana rendah di Taman Rimba Indah, Mukim Rimba Terjun.
CCC merupakan pengiktirafan rasmi bahawa bangunan tersebut telah dibina dengan sempurna dan sesuai untuk diduduki. Ia merupakan dokumen mandatori mengikut peruntukan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Semakan yang dilakukan melibatkan komponen kerja pembinaan seperti asas bangunan, kerja-kerja tanah, sistem paip, sistem longkang dan saliran, landskap, lampu jalan dan sistem keselamatan kebakaran.
Turut hadir adalah Puan Nurul Farahdila binti Jaafar, Setiausaha MPPn dan jabatan teknikal dalaman MPPn.

