MAJLIS PERHIMPUNAN PAGI BULANAN DAERAH PONTIAN BAGI BULAN JUN 2026
Suasana penuh harmoni telah mewarnai Perhimpunan Pagi Bulanan Daerah Pontian bagi bulan Jun 2026 yang diurusetiakan oleh Majlis Perbandaran Pontian.
Dalam majlis tersebut, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian, Encik Abdul Azim bin Haji Shamsuddin telah menyampaikan ucapan kepada seluruh penjawat awam Daerah Pontian. Beliau menekankan kepentingan mewujudkan suasana kerja yang positif bagi meningkatkan motivasi, produktiviti serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau turut mengingatkan penjawat awam agar sentiasa mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah dan berdisiplin bagi mengelakkan masalah keberhutangan serius yang boleh memberi kesan kepada kesejahteraan diri, keluarga serta prestasi kerja.
Selain itu, beliau turut menyeru seluruh warga perkhidmatan awam agar membuat persediaan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri yang akan datang dengan memastikan segala urusan pentadbiran, logistik dan penyampaian perkhidmatan kerajaan berjalan lancar, teratur serta mematuhi segala peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan senamrobik sebagai usaha memupuk budaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga perkhidmatan awam.
Turut hadir ialah YBhg. Tuan Haji Kamalluddin bin Haji Jamal, Pegawai Daerah Pontian, Ketua Jabatan Daerah dan pegawai kanan di peringkat Daerah dan Persekutuan.

