MENU

PONTIAN, 2 Disember 2014 - Seorang bakal pengantin hanya ada masa kurang dua minggu untuk menyediakan wang bagi meneruskan majlis perkahwinannya pada 12 Disember ini, setelah rumah sewa dan wang perbelanjaan serta persiapan hari bahagianya itu hangus dalam kebakaran di Kampung Dalam, di sini, Jumaat lalu.

Sharizal Saari, 27, berkata, peristiwa itu tidak mungkin dapat dilupakannya terutama apabila mengenangkan wang perbelanjaan yang dikumpul hasil pendapatan sebagai pemandu lori sebanyak RM6,000  turut terbakar.

“Saya dan keluarga akan tetap melangsungkan majlis pernikahan dan perkahwinan pada tarikh yang ditetapkan kerana dewan sudah ditempah dan kad undangan telah diedarkan,” katanya kepada  Sinar Harian.

Menceritakan kejadian, ibunya, Mariam Abdullah, 60, berkata, dia hanya menyedari rumah sewanya terbakar kira-kira jam 2.40 petang, selepas mendengar jeritan cucunya, Mohd Saiful Aizam Shafuddin, 4.

“Ketika kejadian, makcik sedang sapu lantai. Makcik terkejut bila dengar cucu jerit nampak api.

“Makcik bergegas untuk lihat apa yang berlaku, dan tidak sangka api sudah marak di bahagian hadapan rumah. Kemudian, makcik segera tendang pintu bilik anak bongsu, Yunos Salleh, 17, yang ketika itu sedang tidur,” katanya.

Ibu tunggal tiga anak ini, bersyukur kerana anak dan dua cucunya yang berusia empat dan lima tahun sempat keluar rumah sebelum api marak memusnahkan kediaman mereka.

“Letupan kuat daripada perkakas elektrik seperti peti ais turut kedengaran, namun kami tidak mampu berbuat apa-apa selain menunggu kedatangan anggota bomba dan penyelamat,” katanya.

Mariam bersama anak dan cucunya kini menumpang di surau dan balai raya kampung sementara menunggu anaknya mendapatkan rumah sewa sementara.

Menurutnya, setakat ini, mereka sekeluarga ada menerima bantuan daripada pemimpin setempat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Katanya, dia reda dengan ujian yang menimpa, namun berharap ada pihak sudi tampil membantu mereka sekeluarga mendapatkan rumah sewa pada masa terdekat ini.

Sumber: Sinar Harian