MENU

PONTIAN, 10 Disember 2014 – Bukan sehari dua,tetapi masalah lalat yang terpaksa diharungi kira-kira 300 penduduk Kampung Parit Kerimon, di sini, sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu.

            Menurut penduduk, kehadiran lalat didakwa berpunca dari ladang ternakan yang diusahakan berhampiran kawasan rumah penduduk.

            Wakil penduduk, Abdul Rahman Majuhari, 63, berkata, kehidupan penduduk cukup terganggu dengan kehadiran lalat yang kini disifatkan semakin serius.

            Dakwanya, kedudukan ladang ternakan ayam yang terletak hanya kira-kira 30 meter daripada rumah penduduk turut menyebabkan mereka terpaksa menghidu bau busuk najis haiwan dari ladang ternakan tersebut.

            “Masalah lalat di sini, bukan sesuatu yang baharu, kerana setiap tahun kami akan menghadapi masalah lalat, di mana keadaannya begitu menyeksakan.

            “Setiap hari, saya memerlukan sekurang-kurangya dua bungkus kertas perangkap lalat, keadaan ini membuatkan saya dan keluarga seperti berperang dengan serangga itu,” katanya kepada Sinar Harian, di rumahnya, semalam.

            Jelasnya, penduduk juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih untuk membeli racun serangga bagi menghalau lalat.

            Namun katanya, penggunaan racun serangga menghalau lalat dibimbangi akan mengancam kesihatan lebih-lebih lagi kepada anak-anak yang masih kecil.

            Bagi Beeran Abu Bakar, 55, berkata, keadaan lalat dirumahnya semakin teruk tidak kira siang atau malam berikutan kedudukan rumahnya yang terletak di hadapan sebuah ladang ternakan ayam.

            Dia yang tidak tahan dengan masalah yang berlaku itu, amat bimbang dengan keselamatan dan kesihatan anak-anaknya yang akan terjejas sekiranya masalah itu dibiarkan berlarutan.

            “Penduduk di sini juga khuatir untuk mengadakan majlis keramaian seperti kenduri kesyukuran kerana risau tetamu tidak selesa dengan kehadiran lalat yang akan menghurung makanan yang disajikan,” katanya.

            Jelasnya, meskipun pelbagai aduan telah dikemukakan kepada pihak terlibat termasuk wakil rakyat namun isu lambakan lalat masih belum dapat diatasi.

            Tegasnya, mereka (pengusaha) tidak boleh hanya memikirkan soal keuntungan sebaliknya keselesaan penduduk perlu diambil kira.

            “Penduduk di sini memang mahu penternakan ditutup memandangkan lokasinya yang begitu dekat dengan rumah penduduk.

            “Namun, jika masalah lalat boleh diatasi, penduduk tidak punya halangan untuk membiarkan penguasa terus beroperasi di sini,” katanya.

            Beeran berkata, dia menyarankan kepada pengusaha tersebut supaya melakukan tinjauan keadaan kampung dan melihat sendiri lalat yang mengharungi kawasan rumah setiap hari.

            Selain itu katanya, perbincangan bersama pengusaha, agensi kerajaan terlibat dan penduduk untuk mencari jalan penyelesaian juga perlu diadakan.

            “Mungkin masalah lalat di sini berpunca dari ladang ternakan mereka, justeru langkah pengawasan dan pembasmian perlu dipertingkatkan,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian