LAWATAN TURUN PADANG YANG DIPERTUA DAN SETIAUSAHA KE LOKASI ADUAN DAN LOKASI KEBAKARAN
13 MEI 2024 | ISNIN
Ybhg. Tuan Haji Ab Razak bin Khalid,Yang Dipertua MPPn bersama Encik Tifla bin Mohd Addi, Setiausaha MPPn berserta beberapa orang pegawai MPPn telah ke lokasi yang menjadi aduan penduduk berkenaan pusat pemprosesan simen siap di Parit Haji Othman, Kampung Seri Bunian, Pontian dan permohonan menaiktaraf sistem saliran di Lorong Perpaduan.
Hasil dapatan lawatan tapak ini mendapati terdapat kerja-kerja pembuatan precast yang tiada kelulusan pelan pembangunan dari pihak MPPn. Siasatan awal di tapak juga telah dijalankan sebanyak 2 kali oleh MPPn iaitu pada 23 April 2024 dan 8 Mei 2024 bersama pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor telah memberi arahan lapangan untuk memberhentikan kerja juga telah dilaksanakan. Tindakan lanjut akan diselaraskan semula di peringkat MPPn.
Bagi lokasi kedua aduan iaitu di Lorong Perpaduan mendapati lokasi permohonan menaiktaraf longkang tersebut tidak mempunyai rezab longkang. Pemilik tanah perlu membuat serahan tanah kepada pihak kerajaan melalui Pejabat Tanah Pontian untuk dibuat infrastruktur di kawasan tersebut.
Lokasi ketiga lawatan turun padang adalah di lokasi kebakaran di Jalan Mutiara, Taman Mutiara, Pontian. Siasatan terperinci masih dalam tindakan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. Siasatan awal di peringkat MPPn juga mendapati tiada permohonan ubahan tambahan, permohonan penempatan pekerja dan premis juga tidak mempunyai lesen perniagaan.
MPPn menzahirkan dukacita atas bencana kebakaran yang berlaku dan dalam masa yang sama menasihati penduduk dan pemilik perniagaan agar sentiasa mematuhi peraturan yang sedia ada.