PONTIAN, 16 Disember 2014 – Jalan Pekan Nenas –Telok Kerang di sini, berlubang, retak, mendap dan beralun berisiko menyebabkan kemalangan.
Penduduk, Anuar Abdul Rahim, 48 berkata, keadaan jalan lurus menyebabkan pengguna jalan raya tidak sedar kewujudan lubang, keretakan jalan dan laluan mendap serta beralun di situ.
Jelasnya, laluan berkenaan menyebabkan kenderaan abangnya rosak teruk terutama di bahagian tayar selepas melanggar lubang ketika dalam perjalanan pulang ke kampung.
“Kejadian Jumaat lepas, ketika abang bersama keluarga pulang ke kampung dari Kuala Lumpur menggunakan laluan Pekan Nenas-Telok Kerang.
“Rosak teruk, bahagian ‘rem’ kereta bengkok dan tayar kereta pecah dan pancit,” katanya.
Menurutnya, meskipun tidak melibatkan nyawa, kejadian itu meninggalkan kesan mendalam bagi mereka sekeluarga.
“Buat masa sekarang saya bimbang menggunakan laluan kemalangan jalan raya,” katanya.
Justeru, dia berharap laluan tersebut dinaiktaraf berikutan kenderaan menggunakan laluan itu semakin bertambah.
Jelasnya keadaan jalan di situ yang berlubang tidak mencerminkan pembangunan pesat berlaku di kawasan pesisir pantai di Tanjung Bin.
“Banyak kenderaan menggunakan laluan ini sebelah pagi dan petang terutama lori muatan besar.
“Jalan di Belokok Telok-Pekan Nenas Beloko, jalan di situ agak baik,” katanya.
Tambahnya, jalan tersebut perlu diturap semula serta ditambah kelebarannya bagi membolehkan penduduk yang menunggang motosikal tidak berhadapan dengan risiko kemalangan.
“Kami harap masalah dihadapi penduduk di sini dapat diselesaikan dengan menaik taraf laluan tersebut.
Sumber: Sinar Harian