MENU

PONTIAN, 8 Disember 2014 - Pasar Awam Benut yang berusia lebih 20 tahun perlu dinaiktaraf bagi meningkatkan imejnya sebagai tempat tumpuan orang ramai bagi mendapatkan bekalan ikan segar setiap hari.

Penduduk, Mohd Kadir Abdullah, 50, berkata, sudah tiba masanya pasar awam tersebut dinaiktaraf bagi menarik lebih ramai peniaga dan pembeli berurus niaga di situ.

Jelasnya, kewujudan Pusat Perdagangan Benut tidak menjejaskan populariti pasar awam itu yang dikenali sebagai pasar segar ikan, kerana nelayan akan menjual hasil tangkapan terus kepada pembeli di situ.

“Pasar ini mempunyai daya tarikan tersendiri kerana ikan dijual segar dengan harga berpatutan. Pembangunan pesat dijangka mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Pasar Awam Benut, sekali gus merancakkan lagi aktiviti jual beli di situ,” katanya.

Menurutnya, Pasar Awam Benut boleh menjadi salah satu daya penarik orang ramai berkunjung ke pekan di sini.

“Sekiranya lebih banyak kemudahan dinaik taraf, tidak mustahil pasar ini menjadi tumpuan pelancong seperti di Pasar Awam Pontian yang kini menjadi tumpuan pengunjung Singapura membeli ikan segar,” katanya.

Bagi, penduduk, Siti Suhaila Abidin, 34, kewujudan pasar awam tersebut turut membantu peniaga setempat meningkatkan hasil jualan.

“Orang ramai datang ke Benut untuk beli ikan akan singgah di kedai makan. Justeru, penduduk harap agar pasar awam ini dinaiktaraf dan diperindah,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian