PONTIAN, 6 Disember 2014 - Kerajaan negeri digesa mengkaji semula penutupan Hutan Lipur Gunung Pulai (1) berikutan kawasan rekreasi air terjun itu masih menjadi tumpuan orang ramai berjoging pada awal pagi.
Walaupun masih ditutup kepada orang ramai, namun dianggarkan 1,000 orang datang mengunjungi kawasan tersebut untuk beriadah.
Pengerusi Kelab Kembara dan Rekreasi Daerah Pontian, Md Hudairi Saing, 42, berkata, kawasan yang terletak berhampiran Kampung Gunung Pulai itu mempunyai tarikan meskipun sudah ditutup sejak tujuh tahun lalu.
Menurutnya, kehadiran ramai pelawat pada hujung minggu menyebabkan kawasan tersebut tercemar dengan sampah sarap.
Justeru, Kelab Kembara dan Rekreasi Daerah Pontian serta Kelab Alami Tanjung Kupang mengadakan gotong-royong mengutip sampah sarap di kawasan tersebut, semalam.
Seramai 50 peserta menyertai program tersebut yang turut mendapat sokongan Majlis Perbandaran Kulaijaya (MPKu).
Md Hudairi berkata, kawasan kerja-kerja pembersihan melibatkan jarak 5.5 km meliputi kawasan sungai dan laluan ke air terjun.
“Kami bersama ahli mengambil peluang cuti sekolah untuk berganding bahu membersihkan kawasan Hutan Lipur Gunung Pulai (1).
“Kami merancang mengadakan gotong–royong membersihkan Hutan Lipur Gunung Pulai (1) sebagai program tetap kelab,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Kelab Alami Tanjung Kupang Johor Bahru, Shalan Jumat, 28, berkata, pihaknya gembira kerana diberi peluang bersama-sama menjayakan gotong-royong bagi memberi pendedahan kepada ahli kepentingan menjaga alam sekitar.
Katanya, sebelum ini pihaknya melakukan kerja pembersihan di kawasan pantai dan tempat rekreasi lain sesuai dengan konsep penubuhan Alami yang menyayangi alam sekitar.
Sumber: Sinar Harian