MENU

PONTIAN, 10 Disember 2014 – Musim air pasang dan ombak besar yang melanda sejak seminggu lalu, membimbangkan penduduk Kampung Permata, disini, berikutan benteng sedia ada tidak dapat menahan rempuhan air laut.

            Wakil penduduk, Hamdan Abdullah, 51, mendakwa, benteng batu yang baharu siap dibina kira-kira dua bulan lalu, terlalu rendah menyebabkan air laut melimpah ke kawasan rumah penduduk ketika air pasang dan ombak besar.

            Menurutnya, dianggarkan kira-kira 30 meter kawasan di sepanjang pantai akan dilimpahi air laut.

            “Kami cukup berterima kasih kepada kerajaan yang mengeluarkan peruntukan yang begitu besar untuk membina benteng batu yang begitu dinantikan kira-kira 400 penduduk, disini.

            “Namun, masalah timbul selepas dua bulan benteng siap dibina berikutan keadaan benteng yang dirasakan rendah berbanding benteng yang dibina terlebih dahulu disini,” katanya semalam.

            Jelasnya, penduduk amat berharap agar benteng tersebut dapat ditinggikan bagi mengelak ancaman ombakbesar yang lebih dahsyat kelak.

            Hamdan berkata, isu hakisan disini semakin serius memungkinkan lebih banyak rumah penduduk ‘hilang’ daripada pandangan mata.

            “Tindakan segera perlu diambil untuk menyelamatkan kawasan kampung ini dengan meninggikan benteng tersebut.

            “Kampung Permata satu-satunya kampung di tepi pantai di kawasan bandar yang semua penduduknya adalah Melayu,” katanya.

            Bagi penduduk, Bashir Abdullah, 64, pula berkata, walaupun menyedari bahaya yang bakal tiba berikutan air melimpah ketika air pasang besar, namun dia terpaksa mengharungi keadaan tersebut.

            Menurutnya, angin kencang membadai rumah tidak kira masa.

            “Jika 10 tahun dahulu, angin kencang tidak begitu terasa kerana dilindungi pokok bakau, tetapi sekarang keadaan sudah berubah sama sekali.

            “Air laut yang melimpah ke kawasan darat memerlukan sekurang-kurangnya empat jam untuk surut. Keadaan ini biasanya berlaku pada tengahari dan malam,” katanya.

Sumber: Sinar Harian