PONTIAN, 9 Disember 2014 – Keluarga Ketua Pemuda Pas Kawasan Pontian, Mohd Faizulhakim ahmad, 35, kini hidup dalam trauma selepas rumah mereka di Kampung Parit Ismail, Benut, dimasuki perompak untuk kali kedua dalam tempoh sebulan lalu.
Mohd Faizulhakim berkata, beliau sentiasa bimbang untuk meninggalkan keluarganya setiap kali perlu berurusan di luar daerah dan akhirnya kebimbangan itu nyata apabila rumah dirompak sekali lagi, malam kelmarin.
Beliau berkata, ketika kejadian, dia bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan untuk bertemu Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, selepas selesai program parti di Pulau Pinang.
“Ketika tiba di Gerik, Perak, kira-kira jam 7.30 pagi, saya menerima panggilan daripada sepupu, Mohd Syafie Mahsuri, 36, yang tinggal bersebelahan rumah saya memaklumkan kejadian rompakan tersebut.
“Ketika itu, saya sangat terkejut dan hanya memikirkan keselamatan isteri, Siti Aishah Nazeri, 35, yang menjaga bayi berusia dua bulan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau bersyukur apabila dimaklumkan isteri, ibu dan empat anaknya yang masih kecil masing-masing berusia 2 bulan hingga 8 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Mohd Faizulhakim, beliau bergegas pulang ke rumah dan membatalkan hasratnya untuk ke Kota Bahru, Kelantan.
Jelasnya, pelbagai barangan berharga hilang termasuk wang tunai RM800 dan rantai emas dianggarkan bernilai RM2,000.
“Ini kali kedua saya dirompak sejak kejadian rompakan yang pertama yang berlaku pada 13 November lalu.
“Isteri dan ibu paling trauma selepas tangan mereka diikat dengan dawai ampaian baju oleh empat perompak bersenjatakan sabit dan pisau dalam kejadian rompakan yang berlaku malam kelmarin,” katanya.
Tambahnya, jeriji besi tingkap di belakang rumah dipotong oleh perompak tersebut untuk masuk ke dalam rumah.
Katanya, isteri dan ibunya kini tinggal sementara di rumah saudara mereka di Johor Bahru, kerana begitu trauma dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Benut.
Sumber: Sinar Harian